" Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk-Mu...."
بسم الله الرحمن الرحيم


Friday, September 07, 2012

Dia Juga Istimewa


    

           “Hafiz! Ini dah kali keempat tahu cikgu telefon ibu beritahu Hafiz tak fokus dalam kelas. Asyik tidur. Berangan . Suka melukis. Mana taknya report card asyik merah je!”. Berasap rasanya kepala Safira. Kemarahannya tidak dapat dibendung. Bukan sekali dua Cikgu Fatihah, guru kelas Hafiz mengadu masalah anaknya.  Entah di mana silapnya, anak keduanya itu selalu ketinggalan dalam pelajaran, sedangkan empat anaknya yang lain tidak menghadapi masalah seperti itu. Hendak dimarah, itulah anak lelaki satu-satunya.

            “ Apa masalahnya Hafiz. Apa yang tak cukup lagi? Ibu dah hantar Hafiz pergi tuisyen, kelas sana sini, jemput cikgu datang rumah. Apa yang susah sangat sampai nak mengeja, membaca pun payah? Hafiz suka orang panggil Hafiz bodoh, bebal. Hafiz suka orang pandang serong pada ibu?” Nada suara Safira semakin tinggi. Kesabarannya kian memuncak. Dia memilih untuk beredar daripada Hafiz sebelum apa-apa terjadi. Anak kecil itu hanya mampu tertunduk. Matanya berkaca. Sesekali bola matanya memandang ke arah Safira. 

               “ Ibu, maafkan Hafiz. Hafiz janji takkan buat lagi. Lepas ni, Hafiz belajar sungguh-sungguh. Ibu jangan marahkan Hafiz lagi ya?.” Rakaman suara itu dimainkan berulang kali. Safira tahu Hafiz takkan menulis perkataan maaf kepadanya. Dia lebih selesa menggunakan perakam suara  untuk meluahkan sesuatu. Sayu hatinya mendengar suara putera tunggalnya itu. Perakam itu diletakkan di hadapan biliknya sejurus selepas  makan malam tadi, ketika Safira sedang sibuk mengemas ruang makan. Ya Allah, maafkan hamba-Mu ini. Aku betul-betul keterlaluan tadi. Astaghfirullah. 

             Perlahan-lahan  Safira membuka pintu menuju ke katil Hafiz. Direnung wajah polos yang sedang enak diulit lena itu. Besar sangatkah salah anak ini sampai aku marah benar kepadanya? Dia baru berusia lapan tahun. Masih mentah untuk mengenal dunia. Mungkin aku hanya terlalu ikutkan emosi. Safira sedar sejak kematian suaminya, dia sering cepat marah. Lagi-lagi dengan perangai Hafiz yang selalu malas dan selalu menyendiri. Tapi dia juga sedar, apa yang dilalui Hafiz juga tidak mudah.  Sejak kecil, Hafiz memang rapat dengan ayahnya.  Segala sesuatu mesti dikongsikan bersama ayahnya.  Tapi, semenjak ayahnya meninggal, Hafiz sering mengasingkan diri.  Hiba hati kecilnya melihat Hafiz. Ya Allah, ini ujianMu. kuatkanlah aku, kuatkanlah anak-anakku dan kuatkanlah Hafiz. Ameen.
  

            Bersepah! Rimas Safira dibuatnya melihat keadaan bilik Hafiz seperti tongkang pecah. Ikutkan hati, rasa mahu saja melenting pagi-pagi buta. Satu persatu buku-buku yang bersepah di lantai dikemas.  Dibelek sehelai demi sehelai. Tulisan tangan anaknya cukup sifat untuk digambarkan sebagai cakar ayam. Ejaannya juga banyak yang salah, huruf yang ditulis juga selalu sahaja terbalik.Malah,lebih banyak lukisan daripada tulisan di dalam bukunya.  Kerja-kerja rumahnya juga banyak yang tidak disiapkan. Safira geram. Dia yakin anaknya itu belum benar-benar mahu berubah. Mahu saja dipanggil Hafiz yang sedang bersarapan di bawah.



                Mata Safira melilau di bilik Hafiz. Mencari bukti  yang pasti. Dibelek segala yang ada di bilik itu satu-persatu. Matanya tertancap kepada tulisan dan lukisan yang ditampal di almari Hafiz. Ejaan huruf anaknya sering tertukar. Huruf yang sepatutnya ditulis p menjadi q, huruf b menjadi d. Safira juga teringat Hafiz sering memberitahu yang dia sering diejek dan disisihkan kawannya kerana lambat menulis. Anaknya itu juga sering mengadu tidak memahami apa yang dibaca. Berlinang air mata Safira. Perbualannya bersama cikgu Fatihah bermain-main di fikirannya.


“Puan Safira, saya rasa Hafiz ada masalah dyslexia. Mungkin inilah yang menyebabkan pelajarannya terganggu,”

“Dyslexia? Maksud cikgu, Hafiz sakit? Dia tak macam kanak-kanak normal lain?”

“ Mula-mula saya pun tak pasti. Tapi terlalu banyak simptom dyslexia yang dialami oleh Hafiz. Dia selalu menulis huruf terbalik. Keliru antara kanan dengan kiri. Pakai kasut terbalik. Tapi puan jangan risau. Mungkin Hafiz bukan macam kanak-kanak lain. Awal-awal ni di akan menghadapi kesukaran mengenal huruf-huruf tertentu, mengira  dan membaca. Tapi kalau kita tolong dia sungguh-sungguh, dia ada perlu potensi untuk menyerlah bahkan lebih cemerlang daripada kanak-kanak lain.”

       Safira terpempan. Sungguh sebagai ibu dia tidak perasan  perbezaan anaknya itu. Malah, dia jugalah insan yang selalu memarahi Hafiz.  Sungguh, dia rasa bersalah kepada Hafiz. Anaknya itu  perlu dibantu bukan disisihkan. Dia yakin, setiap manusia itu diciptakan berbeza  tetapi semuanya mempunyai keistimewaan tersendiri.
                  
                              *****************************************************

p/s : kisah ni terinspirasi selepas menonton filem hindustan, Taare Zameen Par(every child is special) lakonan & arahan Aamir Khan (walaupun jalan citer ni memang jauh beza dgn filem tu). Kalau tak silap citer ni dah lama, tahun 2007. Filem pasal seorang kanak-kanak yang mengalami dyslexia. Serius, Not Ordinary Film!!!sila sediakan tisu banyak-banyak untuk tengok filem ni. Sangat menyentuh hati. 3 idiots & citer ni memang best!! Malaysia needs inspirational film like this to become an eye opener for us bukan cerita cinta, seram n lawak semata je. Ok, peace no war! Wassalam..


1 comment:

Anonymous said...

yan, cter ni best ! :)